Tuesday, February 1, 2011

KURIKULUM LATIHAN BAGI JURULATIH PENTAKSIRAN SEKOLAH







Kandungan

1. Pengenalan
2. Matlamat
3. Objektif
4. Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK)
5. Standard Prestasi
6. KSSR
7. Strategi Penyampaian










1. PENGENALAN
Kurikulum Latihan ini merupakan satu kit rujukan dan latihan bagi pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) untuk Tahun 1 yang akan bermula tahun 2011. Dalam mengharungi transformasi kurikulum, pentaksiran kepada murid juga akan mengalami perubahan. Aspek yang akan diukur dalam pentaksiran ini adalah menyeluruh dalam konteks perkembangan sahsiah, kognitif dan psikomotor setiap murid. Perubahan pentaksiran ini adalah sejajar dengan kehendak melahirkan murid yang lengkap dan seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial untuk mengharungi era transformasi pendidikan.

2. MATLAMAT
Pentaksiran Berasaskan Sekolah ini digubal untuk memudahkan pentadbir dan pentaksir sekolah dalam menguruskan pentaksiran matapelajaran di sekolah berdasarkan perubahan kurikulum dengan menggunakan Standard Prestasi yang ditetapkan dan dapat mengenalpasti tahap pencapaian dan kebolehan setiap murid pada setiap akhir tahun pembelajaran.
3. OBJEKTIF
Melalui kit ini pentadbir dan pentaksir dapat :
3.1 membina sikap positif dalam menerima pembaharuan kurikulum.
3.2 memahami pengurusan pentaksiran di peringkat sekolah.
3.3 melaksanakan pentaksiran dengan mengikut standard yang telah ditetapkan
3.4 mengenalpasti perkembangan dan keperluan murid sepanjang tahun pembelajaran
3.5 dapat membuat refleksi kepada tugas dan tanggungjawab atas pentaksiran yang telah dilaksanakan.
4. SISTEM PENTAKSIRAN PENDIDIKAN KEBANGSAAN
4.1 DEFINISI
i. Pentaksiran Sekolah (PS) ialah proses mengumpul maklumat yang autentik dan boleh diharap oleh guru secara formatif dan sumatif. PS secara formatif adalah bertujuan untuk memperbaiki pembelajaran (assessment for learning) manakala PS secara sumatif adalah untuk menilai tentang sejauh mana murid telah menguasai apa yang dipelajari (assessment of learning).

ii. Proses Pentaksiran Sekolah (PS) melibatkan aktiviti berikut:
· Mengumpul maklumat yang autentik dan boleh diharap (dependable) tentang prestasi murid secara
berterusan (ongoing) berdasarkan
· pernyataan kriteria yang jelas dipanggil standard prestasi (performance standard);
· penggunaan pelbagai kaedah, alat, teknik dan konteks;
· Mengelola, merekod, menterjemah, melapor dan membuat pertimbangan tentang prestasi murid oleh guru semasa dan sepanjang (formatif) dan di hujung (sumatif) proses pengajaran-pembelajaran berlangsung;
· Menggunakan kepelbagaian maklumat; dan
· Membuat penilaian dan melaporkan secara verval dan/atau bertulis tentang prestasi, potensi, pencapaian dan keperluan murid.
iii. Bagi kedua-dua cara PS tersebut guru dan murid merujuk kepada satu set pernyataan standard prestasi yang jelas yang ditetapkan oleh sekolah berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran. PS dikaksana menggunakan pelbagai kaedah, alat, teknik dan konteks. Pentaksiran ini adalah penilaian yang dilakukan di peringkat sekolah seperti kerja praktikal, tugasan bertulis, ujian, kajian dan lain-lain tugasan yang melibatkan pelbagai mata pelajaran. Eviden PS dikumpulkan dalam portfolio.
iv. Maklumat yang diperoleh daripada pentaksiran ini membolehkan guru membuat keputusan tentang:
· Sejauh mana murid telah belajar dan mencapai standard tertentu;
· Strategi pengajaran dan pembelajaran berikutnya;
v. Sebagai tambahan, semua murid perlu mempunyai kefahaman yang jelas tentang apa yang perlu dipelajari, dibuat, dan penting dalam peringkat tertentu dalam pembelajaran mereka. Pentaksiran dapat memberi sumbangan positif dalam meningkatkan pembelajaran apabila direkabentuk dengan teliti dengan mengambilkira aspek berikut:
§ kejelasan konstruk yang ditaksir
§ bentuk
§ kegunaan
§ aras kesukaran
§ bagaimana cara mentaksir
§ kekerapan
§ masa dan
§ maklumbalas.
vi. Pentaksiran yang berkesan membolehkan murid:
· Berusaha ke arah yang sejajar dengan kriteria yang telah diketahui dan difahami lebih awal;
· Menganalisa pembelajaran dan mengetahui perkara yang perlu diperbaiki;
· Mensíntesis dan mengaplikasi pembelajaran selain daripada mengingati fakta;
· Mempamerkan kekuatan dan menunjukkan penguasaan dan kepakaran;
· Belajar dengan kaedah tersendiri;
· Reflektif dan melibatkan diri dalam pentaksiran kendiri dan rakan sebaya;
· Berupaya melahirkan pandangan dan tafsiran dari sudut yang berbeza;
· Bertanggungjawab terhadap pembelajaran;
· Melalui proses pembelajaran yang berjaya; dan
· Berupaya bersaing di tahap yang lebih tinggi.
4.2 FUNGSI

Pentaksiran sekolah mengandungi dua fungsi yang luas, iaitu
· Pentaksiran tentang pembelajaran yang bersifat summatif (pentaksiran untuk melihat prestasi murid)
· Pentaksiran untuk pembelajaran yang bersifat formatif (pentaksiran untuk meningkatkan pembelajaran)
4.2.1 Pentaksiran tentang Pembelajaran (Pentaksiran Sumatif):

Pentaksiran tentang pembelajaran merujuk kepada semua aktiviti dan tugasan yang digunakan untuk menentukan prestasi murid bagi penggal persekolahan, semester atau tahun tertentu. Semua eviden bagi pentaksiran tentang pembelajaran wajib dikumpulkan dalam portfolio. Semua portfolio mesti disimpan di sekolah dan dibentangkan untuk proses semakan dan pengesahan.
Pelaporan tentang pencapaian murid dalam pembelajaran dikeluarkan secara bertulis dalam bentuk markah, gred, band, profil, pernyataan deskriptif sebahagian atau kesemuanya. Pelaporan boleh dibuat dalam bentuk sijil, pernyataan keputusan, profil atau testimoni.
4.2.2 Pentaksiran untuk Pembelajaran (Pentaksiran Formatif)

Pentaksiran untuk pembelajaran merujuk kepada semua aktiviti dan tugasan yang diberikan kepada murid untuk membolehkan guru menilai perkembangan dan masalah pembelajaran murid. Oleh itu, maklumat yang diperoleh berupaya memantau dan membantu proses pembelajaran. Maklumat tersebut diguna sebagai maklum balas dalam mengubahsuai aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi memenuhi keperluan semua murid. Keperluan setiap murid berbeza antara satu sama lain.
Guru juga boleh mengetahui keperluan murid melalui pelbagai kaedah seperti pencerapan, perbincangan dalam kelas atau kerja bertulis, sama ada kerja rumah atau tugasan dalam kelas. Pentaksiran kendiri dan rakan sebaya juga boleh digunakan dengan berkesan untuk menyokong pentaksiran untuk pembelajaran.
Pentaksiran untuk pembelajaran boleh menjadi alat yang sangat berkesan untuk membantu semua murid sekiranya maklumbalas disampaikan kepada murid dengan cara yang betul. Maklumbalas tidak sepatutnya mengandungi pernyataan perbandingan antara murid tentang kebolehan, kedudukan atau persaingan. Maklumbalas perlu mengandungi tiga elemen berikut:
· Kedudukan murid dalam pembelajaran merujuk kepada standard prestasi yang ditetapkan;
· Tahap pembelajaran yang diharapkan; dan
· Maklumat untuk merapatkan jurang antara kedudukan sedia ada dan tahap pembelajaran yang diharapkan.
Pentaksiran untuk pembelajaran memberi tumpuan terhadap analisis, perkembangan pembelajaran murid dan maklumbalas, bukan semata-mata merekod skor. Oleh itu, pelaporan bertulis tidak perlu dibuat secara berkala sebaliknya, guru mestilah mampu memberinya secara bertulis atau verbal apabila dikehendaki pada bila-bila masa oleh mana-mana pihak berkepentingan seperti ibu bapa, guru besar atau nazir.
4.3. PENTAKSIRAN SEKOLAH SEBAGAI PENTAKSIRAN RUJUKAN STANDARD

Pentaksiran rujukan standard seringkali dijelaskan sebagai berlawanan dengan pentaksiran rujukan kriteria. Guru tidak sepatutnya bergantung hanya kepada pentaksiran rujukan norma atau kriteria semata-mata kerana amalan terbaik ialah menggabungkan pentaksiran rujukan kriteria dengan rujukan standard.
Pentaksiran Rujukan Kriteria (PRK) ialah pentaksiran yang dilaksanakan berdasarkan kriteria penilaian yang telah ditetapkan terlebih awal tanpa membandingkan seseorang murid dengan murid yang lain tetapi membandingkan pencapaian murid dengan set kriteria yang telah ditetapkan itu. Melalui PRK, pencapaian murid tidak dinilai secara bertahap. Murid yang memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan dinilai sebagai telah menguasai pembelajaran tanpa meletakkan pada tahap mana penguasaan murid itu dalam pembelajarannya.
Pentaksiran Rujukan Standard (PRS) sama seperti PRK tetapi pencapaian murid dinilai dan dilaporkan berdasarkan tahap-tahap penguasaan murid dalam pembelajaran seperti band 1 hingga band 5 atau 6 atau Lemah hingga Cemerlang atau lain-lain bentuk pernyataan standard yang bertahap.
Pentaksiran rujukan standard bertujuan untuk mencapai perkara berikut:
· Membuat keputusan tentang murid dengan menilai kerja murid berdasarkan standard yang ditetapkan;
· Mentaksir murid secara individu mengikut keperluan masing-masing;
· Menentukan kedudukan seseorang murid mengikut kriteria yang ditetapkan berdasarkan standard prestasi;
· Mentaksir murid berdasarkan kriteria penilaian yang jelas dan objektif mengikut standard prestasi;
Tujuan pentaksiran perlulah jelas dan telus. Sebelum menimbangkan bagaimana pentaksiran itu harus dilakukan, kita perlu memutuskan mengapa kita perlu mentaksir murid.
Dengan menggabungkan pentaksiran rujukan standard dan rujukan kriteria, pelbagai kaedah pentaksiran akan digunakan bagi tujuan berikut:
· Mentaksir murid yang ramai dengan keberkesanan kos;
· Mentaksir aspek kognitif, afektif dan psikomotor dalam pelbagai konteks;
· Mendapatkan data statistik, iaitu perbandingan prestasi tahun semasa dengan prestasi tahun sebelumnya untuk menilai standard;
· Menentukan kualiti pengajaran dalam mata pelajaran;
· Menganalisis kekuatan dan kelemahan dalam membantu perancangan dan penilaian program.
Pentaksiran yang adil tidak perlu dibimbangi kesahan dan kebolehpercayaannya kerana ia mempunyai keautentikan dan keboleharapan yang tinggi bergantung kepada kualiti dan kejelasan kriteria penskoran dan pemahaman kriteria tersebut. Sesuatu instrumen yang secara umumnya digunakan dengan baik untuk menyenaraikan dan memperluaskan kriteria penskoran sering dirujuk sebagai rubrik. Rubrik memberikan penerangan tentang ciri-ciri kerja murid dengan jelas.
Maklumat berikut perlu dibekalkan kepada murid:
· Keterangan yang jelas tentang pengetahuan dan/atau kemahiran yang ditaksir;
· Wajaran bagi setiap pentaksiran;
· Maklumbalas yang jelas berhubung markah atau skor yang telah diberikan;
· Peluang prestasi mereka ditaksir secara kualitatif;
· Mempunyai akses terhadap semua kriteria yang digunakan dalam pentaksiran;
· Bukan semua kerja yang ditaksir akan direkod;
· Memberi makluman awal tentang mana-mana pentaksiran yang memerlukan persediaan;
· Menjelas tentang tarikh dan tempoh pentaksiran; dan
· Kepentingan menepati tarikh serahan yang ditetapkan dalam penentuan gred pencapaian.
4.4 INTEGRASI PENGAJARAN, PEMBELAJARAN DAN PENTAKSIRAN

Pentaksiran adalah sebahagian daripada strategi pengajaran dan pembelajaran dan bukannya tugas tambahan. Pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran tidak boleh dipisahkan dan tidak boleh dilihat atau diguna secara berasingan atau bersendirian. Tujuan utama pentaksiran BUKAN hanya untuk membuat keputusan, tetapi memberi sokongan dan mekanisma yang positif bagi membantu murid untuk membaiki atau meningkatkan pembelajaran; bagi guru membaiki pengajaran dan secara keseluruhan, menyumbang kepada keberkesanan program. Semasa menyediakan Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT), perkara berikut hendaklah diambilkira:
· Pentaksiran tentang pembelajaran
· Pentaksiran untuk pembelajaran
· Strategi pengajaran dan pembelajaran; dan
· Pembangunan pengetahuan yang diperlukan, kemahiran dan pemahaman di samping nilai dan sikap.
Rancangan Pelajaran Tahunan perlu berdasarkan kepada keperluan kurikulum dan garis panduan pentaksiran.
4.5 BENTUK, KAEDAH DAN INSTRUMEN PENTAKSIRAN SEKOLAH

Standard pentaksiran perlu diketahui dan difahami oleh semua murid dan ibu bapa pada awal proses pembelajaran. Aktiviti yang relevan perlu disertai dengan bentuk dan kaedah pentaksiran yang bersesuaian, contohnya rubrik yang akan digunakan. Setiap aktiviti yang direkodkan sepatutnya terdiri daripada kejayaan satu siri tugasan yang bermakna dan berkesan.
4.5.1 Kaedah pengumpulan eviden pentaksiran sekolah

4.5.2 Pencerapan
Pentaksiran melalui cerapan biasanya kurang berstruktur (terancang) dan selalunya dilakukan untuk menilai interaksi murid antara satu sama lain dalam tugasan untuk mendapatkan hasil penyelesaian yang umum. Pencerapan perlu mempunyai tujuan dan dijalankan dengan menggunakan suatu instrumen cerapan yang bersesuaian untuk mengurangkan penyimpanan rekod, seperti senarai semak dan skala pengadaran (rating scale) yang hanya memerlukan sedikit catatan dan masa untuk merekod.
4.5.3 Ujian
Pentaksiran melalui ujian lebih berstruktur dan tegar. Ia membolehkan guru mengumpul eviden yang sama bagi semua murid dengan cara dan masa yang sama. Pentaksiran ini mengemukakan eviden tentang pembelajaran berpandukan kepada skor. Sekiranya digunakan dengan betul, ujian dan peperiksaan adalah sebahagian daripada kurikulum yang penting kerana ia memberikan eviden yang baik tentang apa yang telah dipelajari.
Ujian dalam PS boleh dilaksanakan secara manual seperti kertas-pensil, papan tulis dan lisan atau berbantukan komputer secara online atau offline. Item-item ujian boleh disediakan oleh pihak sekolah atau Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri atau Lembaga Peperiksaan tetapi pengendaliannya adalah oleh guru sama ada secara manual atau berbantukan komputer.
4.5.4 Tugasan atau Pentaksiran Prestasi
Tugasan atau pentaksiran prestasi kurang berstruktur (berbanding dengan ujian) dan melibatkan tugasan yang menilai aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap murid dalam pelbagai situasi dan konteks yang sebenar. Pentaksiran prestasi meliputi komponen praktikal sesuatu mata pelajaran dengan menentukan bagaimana murid menggabungkan teori dalam amalan. Ia merupakan pentaksiran yang autentik kerana murid mempunyai gaya yang tersendiri untuk belajar. Antara contoh ialah projek, pameran, penyampaian visual dan lisan, debat, simulasi komputer dan persembahan.
4.5.5 Pentaksiran Kendiri, rakan sebaya dan kerja berkumpulan
Pentaksiran kendiri memerlukan perhatian khusus daripada guru kerana mungkin ramai murid memerlukan bantuan mempelajari bagaimana untuk menilai kemahiran akademik dan prestasi dengan tepat. Murid perlu dimaklumkan tentang kriteria tugas khusus untuk prestasi (pentaksiran rujukan kriteria). Murid juga mungkin memerlukan bantuan dalam mempelajari bagaimana untuk menyimpan rekod dan memgulas ringkasan kerja. Refleksi ke atas pembelajaran seseorang adalah komponen yang amat penting dalam pembelajaran.
Pentaksiran rakan sebaya, menggunakan senarai semak atau rubrik, membantu murid sama ada yang ditaksir atau yang mentaksir. Perkongsian kriteria untuk pentaksiran memberi kuasa kepada murid untuk menilai prestasi mereka sendiri dan juga rakan mereka. Kebolehan untuk bekerja bersama rakan lain dalam satu kumpulan dengan berkesan adalah satu daripada hasil kritis.
Pentaksiran kerja berkumpulan memberi eviden daripada aspek kerjasama, bantu membantu, pengagihan kerja dan sumbangan setiap individu melalui satu produk. Pentaksiran kerja berkumpulan dinilai melalui proses selain daripada produk atau hasil kerja. Ia melibatkan pentaksiran kemahiran sosial, pengurusan masa dan kedinamikan kumpulan, selain daripada hasil kerja kumpulan.
Peluang untuk menggunakan pelbagai instrumen amat penting bagi kedua-dua pentaksiran untuk pembelajaran dan juga pentaksiran tentang pembelajaran. Isu penting ialah instrumen mestilah sepadan dengan apa yang ditaksir. Eviden yang bersesuaian dan mencukupi mesti dikumpulkan; dan ia mesti dijelaskan kepada murid sama ada mereka sedang melalui proses pentaksiran untuk pembelajaran atau pentaksiran tentang pembelajaran.
4.6 WAJARAN
Keseimbangan pentaksiran sekolah dalam transformasi pentaskiran dinyatakan dalam jadual di bawah bagi prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
TAHAP PAJSK PS PP
Prasekolah 20% 80% -
Tahun 1 – Tahun 3 30% 70% -
Tahun 4 – Tahun 6 20% 50% 30%
Tahun 7 - Tahun 9 20% 30% 50%
Tahun 10 – Tahun 12 10% 10% 10%

§ Pentaksiran Sekolah (PS)
§ Pentaksiran Pusat (PP)
§ Pentaksiran Aktiviti Jasmani dan Kokurikulum (PAJK)
§ Pentaksiran Psikometrik dilapor secara berasingan
4.7 GRED PURATA MURID
Jumlah band tertinggi
Gred purata (GP) = Jumlah matapelajaran

      • Gred purata dikira setiap semester
      • Gred purata setiap semester akan dikumpulkan kepada Gred Purata Kumulatif (GPK)
Jumlah Gred Purata
GPK = Jumlah Semester
Contoh :
Semester 1 : Band
Bahasa Melayu 3
Bahasa Inggeris 4 GP = 3+4+3 = 10 = 3.3
Matematik 3 3 3
Semester 2 : Band
Bahasa Melayu 3
Bahasa Inggeris 3 GP = 3+4+2 = 8 = 2.7
Matematik 2 3 3
GPK = 3.3 + 2.7 = 6.0 = 3.0
2 2
4.8 REKOD DAN PELAPORAN

Perekodan dan pelaporan memerlukan data yang telah dikumpul semasa pentaksiran supaya ia boleh dianalisa secara logik dan dilaporkan dalam bentuk yang mudah difahami dan tepat. Pelaporan prestasi dan pencapaian memberi gambaran tentang apa yang murid telah capai. Ia juga menunjukkan kedudukan murid dalam lengkung pembelajaran dan jenis intervensi yang diperlukan, sebagai contoh maklumat ini (merujuk kepada prestasi) boleh digunakan untuk merancang program intervensi dan memaklumkan strategi intervensi.
4.9 SEMAKAN KUALITI
4.9.1 PROSES SEMAKAN
Prinsip semakan adalah untuk menjamin kualiti pentaksiran yang dilakukan diperingkat sekolah. Ia adalah satu prosedur untuk meletakkan PS mana-mana sekolah pada skala kebangsaan. Skala kebangsaan ini ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dari segi kesahan dan kebolehpercayaan. Satu instrumen yang dibina oleh LP akan ditadbir kepada semua murid. Skor yang diperoleh akan menentukan tahap PS bagi setiap sekolah.
Skor yang diperoleh akan dianalisis untuk mengeluarkan pelaporan tentang prestasi pendidikan kebangsaan.
4.9.2 EVIDEN SEMAKAN: PORTFOLIO
Dua jenis portfolio diperlukan:
1. Portfolio guru mengandungi semua arahan dan kriteria pentaksiran serta rubrik berkaitan tugasan yang diberikan kepada murid.
2. Portfolio murid mengandungi setiap eviden yang digunakan untuk mendapatkan skor.


Portfolio boleh:
· Mengandungi beberapa bentuk pentaksiran termasuk tidak lebih daripada dua ujian rasmi
· Memberi eviden untuk semakan
· Menunjukkan kemajuan pembelajaran murid sebagai eviden tentang pengajaran dan pembelajaran sepanjang tahun tersebut.
4.10 SARANAN
Sekolah mesti memastikan bahawa murid tidak dibebankan dengan terlalu banyak pentaksiran. Guru mesti memaklumkan kepada murid mengenai sumber bahan yang diperlukan untuk menyelesaikan tugasan, projek dan sebagainya. Guru mesti membantu murid untuk merancang tugasan, projek dan lain-lain dengan:
§ membekalkan murid dengan tarikh beserta rubrik pada permulaan proses pembelajaran
§ membenarkan murid menyiapkan kerja di premis sekolah atau di bilik darjah, jika perlu

5. STANDARD PRESTASI
5.1 Ciri-ciri Standard Prestasi
5.1.2 Penerangan generik tentang tahap pertumbuhan murid dalam pembelajaran
5.2.2 Tentang apa yang murid patut tahu dan boleh buat pada suatu ketika tertentu semasa proses pembelajaran dan di akhir unit pembelajaran (Imej holistik)
5.2.3 Setiap tahap / band menunjukkan pertumbuhan murid dalam pembelajaran dan pertumbuhan ini diterangkan dengan petunjuk
5.2.4 Kualiti yang boleh ditaksir dan dicapai
5.2.5 Pertumbuhan secara menegak dan mengufuk
5.2.6 Hasrat FPK dan Hasil Pembelajaran
clip_image002
6. KSSR
Rujuk Modul Sukatan Pelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah
7. STRATEGI PENYAMPAIAN
7.1 Sesi pendedahan
7.2 Bengkel
7.3 Pembentangan










































































































































































































No comments:

Post a Comment

Post a Comment