Friday, February 11, 2011

ELEMEN KEUSAHAWANAN SEKOLAH RENDAH

MATLAMAT

Penerapan elemen keusahawanan di dalam kurikulum standard sekolah rendah bertujuan membentuk ciri-ciri dan amalan keusahawanan sehingga menjadi satu budaya dalam kalangan murid. Penerapan elemen keusahawanan melalui aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran merupakan sebahagian daripada proses pembudayaan keusahawanan yang membolehkan murid sekolah rendah membiasakan diri dengan aspek kehidupan seharian yang berkaitan dengan amalan keusahawanan dan perniagaan. Penerapan elemen keusahawanan yang merupakan satu pendekatan membudayakan keusahawanan melibatkan proses pembentukan sikap tertentu yang dimiliki oleh seorang usahawan, latihan pemikiran keusahawanan, latihan kemahiran pengurusan perniagaan, aplikasi vokasional dan teknologi dalam keusahawanan dan akhir sekali amalan nilai moral dan etika dalam keusahawanan. Semua elemen penerapan ini dilaksanakan sesuai dengan tahap murid sekolah rendah mengikut situasi pelbagai disiplin ilmu dalam teras asas dan teras tema.

OBJEKTIF UMUM MERENTAS KURIKULUM TERAS ASAS DAN TERAS TEMA

Murid yang mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkaitan penerapan elemen keusahawanan sekolah rendah dalam
pelbagai disiplin ilmu akan:
1. Mengamalkan sikap keusahawanan yang cemerlang;
2. Mengaplikasikan pemikiran keusahawanan dalam situasi yang diperlukan;
3. Mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran pengurusan perniagaan dalam aktiviti kehidupan seharian yang relevan;
4. Memformulasikan samada konsep, proses atau produk keusahawanan berasaskan pengetahuan dan kemahiran teknologi atau vokasional;
5. Mengamalkan nilai moral dan etika yang baik dalam keusahawanan.
FOKUS
Penerapan elemen keusahawanan secara eksplisit merentas kurikulum teras asas dan teras tema melibatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan standard kandungan dan standard pembelajaran kurikulum disiplin tersebut. Lima elemen utama yang diterapkan adalah pendedahan dan amalan sikap keusahawanan, latihan pemikiran keusahawanan dalam situasi yang sesuai, formulasi konsep, proses atau produk keusahawanan berasaskan pengetahuan dan kemahiran teknologi atau vokasional dan amalan nilai moral dan etika yang baik dalam keusahawanan. Secara ringkas huraian tentang lima elemen utama keusahawanan ini adalah:

1. Sikap keusahawanan

Seorang usahawan mempunyai sikap yang cemerlang yang menyebabkan mereka berjaya dalam bidang yang diceburi. Sikap cemerlang ini penting kerana ia menjadi asas kekuatan dalaman secara mental, emosi dan fizikal yang kukuh untuk mendorong usahawan menghadapi dan menangani pelbagai cabaran sehingga berjaya. Sikap adalah satu gambaran perasaan seseorang yang terangsang terhadap sesuatu objek yang akan dizahirkan menerusi tingkahlaku yang diambil oleh seseorang individu seperti pemilihan kerjaya dalam bidang keusahawanan. Sikap adalah penting untuk meramalkan tingkahlaku yang dapat menentukan kejayaan usaha teroka usahawan kerana hampir semua teroka memerlukan sikap tertentu seperti kerajinan, komitmen, keazaman dan ketabahan untuk mengatasi pelbagai rintangan, cabaran, masalah dan kegagalan yang mungkin timbul di peringkat permulaan atas halangan-halangan yang berkemungkinan timbul dikemudiannya Berikut adalah sikap usahawan yang cemerlang yang mempengaruhi kejayaan usahawan yang diketengahkan oleh beberapa pakar keusahawanan:

i. Komitmen yang tinggi

Usahawan biasanya mempunyai tahap komitmen yang tinggi dalam setiap aktiviti yang dilakukan. Sifat ini menyebabkan usahawan sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya kepada perkembangan penceburannya dalam perniagaan serta sanggup mengorbankan sebahagian besar masa dan tenaga dalam perniagaan yang diceburi. Contoh: Murid membuat tugasan yang diberikan oleh guru sehingga selesai walau pun menghadapi rintangan dalam proses mendapatkan maklumat berkaitan.
ii. Keazaman yang kuat

Usahawan juga mempunyai tahap keazaman yang tinggi untuk mencapai cita-citanya daripada menjadi usahawan sehingga kepada memperoleh kejayaan yang maksimum. Sifat ini menyebabkan usahawan tidak mudah dipengaruhi oleh apa jua persekitaran luar selagi matlamatnya belum dicapai. Contoh: Murid mempunyai cita-cita dan berusaha ke arah mencapai apa yang dihajati.

iii. Bertanggungjawab terhadap keputusan

Seorang usahawan bertanggungjawab ke atas sebarang keputusan berkaitan perniagaan yang diceburinya. Beliau lebih suka mengawal sendiri sumber-sumber berkaitan perniagaan dan menggunakannya untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Kesanggupan mengambil tanggungjawab terhadap hasil keputusan yang dibuat berkait rapat dengan lokus kawalan dalaman. Contoh: Jika murid gagal dalam peperiksaan, murid tidak boleh menyalahkan orang lain seperti ibu bapa, guru dan rakan-rakan lain.

iv. Sangat peka kepada peluang

Usahawan yang berjaya sentiasa memikirkan pencapaian matlamat. Bagi mereka, untuk mencapai matlamat yang ditetapkan perlu keupayaan peka, melihat dan mengambil peluang yang terdapat di persekitaran. Peluang perniagaan boleh wujud akibat masalah yang ditimbulkan oleh orang lain, perubahan teknologi, perubahan cita rasa pengguna, perubahan cara hidup, perubahan sikap, sumber-sumber alam yang masih belum diterokai dan sebagainya. Contoh: Penyakit H1N1

i.  Peniaga yang peka akan mengambil peluang untuk mencipta sabun untuk membersihkan tangan tanpa air.
ii.  Peniaga menjual topeng untuk menutup hidung. Contoh: Wanita lebih mengambil berat tentang kesihatan dan kecantikan
iii. Peniaga menghasilkan jus kesihatan/kecantikan.                                                                                                                                   iv.  Peniaga menghasilkan produk kecantikan/kesihatan melalui R&D
v.   Berani mengambil risiko yang dianggarkan

Usahawan yang berjaya tidak mengambil risiko tanpa menganggarkannya terlebih dahulu. Usahawan adalah pengurus risikoyang baik. Usahawan hidup dalam dunia ketidaktentuan dengan kadar perubahan yang tinggi. Dalam dunia begini, seseorang usahawan belajar mengurus risiko dan memastikan bahawa risiko yang diambil adalah munasabah dan berpatutan dengan ganjaran yang diterima. Contoh: Murid cuba menggunakan imaginasi sendiri untuk menghasilkan sesuatu produk selepas memperoleh pengetahuan teknikal dan vokasional daripada guru seperti membuat kad hari lahir, wau, topeng, gasing dll.

v. Keyakinan diri yang tinggi

Seseorang usahawan yang berjaya mempunyai kadar keyakinan diri yang tinggi terhadap dirinya sendiri. Dia amat percaya bahawa dia dapat mencapai cita-citanya. Sifat ini menyebabkan dia optimistik dan mempunyai kepercayaan tinggi tentang kebolehannya untuk berjaya dalam perniagaan. Contoh: Murid perempuan berkeyakinan untuk melakukan/bersaing dengan murid lelaki kerana mempunyai kekuatan dalaman (jati diri yang tinggi, kemahiran meyakinkan pelanggan) dan luaran (sokongan dan kewangan).

vi. Daya kreativiti dan inovatif

Usahawan dengan minda yang kreatif dapat menyelesaikan masalah dengan logikal. Kreativiti dijelaskan sebagai kebolehan mengadakan idea alternatif dan memperkembangkan idea baru tersebut selain boleh memberi pandangan lain terhadap sesuatu peluang, situasi dan masalah. Inovatif pula adalah kebolehan memperbaiki dan mengaplikasikan idea kreatif terhadap masalah dan peluang untuk memperkukuhkan dan memperkayakan sesuatu. Contoh: Alexander Graham Bell yang mencipta telefon berwayar. Sehingga kini, penciptaan telefon bimbit (tanpa wayar) dengan fungsi yang pelbagai bermula daripada kreativiti dan inovatif. Contoh: Usahawan jalur lebar – Peniaga menjalankan perniagaan melalui internet dengan menerima pesanan pelanggan dengan tanpa perlu mempunyai pejabat yang berada luar dari rumah.
vii. Fleksibiliti

Kebolehan menyesuaikan diri terhadap perubahan persekitaran seperti perubahan permintaan pelanggan, ekonomi negara dan dunia, sumber asas dan persaingan dalam perniagaan mereka, merupakan satu ciri usahawan yang berjaya. Dalam dunia sekarang yang sentiasa berubah, kebolehan bertindak dengan cara yang fleksibel memerlukan satu daya kreativiti yang tinggi. Contoh: Peniaga menerima tempahan nasi goreng yang perlu disiapkan pada jam 9.30 pagi. Tetapi disebabkan nasi yang hendak digunakan basi kerana dimasak terlalu awal, peniaga terus bertindak untuk membeli nasi sedia masak daripada kedai lain untuk melengkapkan pesanan.

viii. Keinginan kepada maklum balas segera

Seseorang usahawan yang berjaya suka untuk mengetahui prestasi mereka. Mereka memiliki keinginan yang kuat untuk menggunakan pengetahuan bagi membaiki prestasi mereka. Sikap ini sangat berkait rapat dengan kehendak untuk belajar dari kesilapan lalu. Oleh itu, seorang usahawan juga dikenali sebagai pendengar yang prihatin dan pelajar yang pantas. Contoh: Peniaga menelefon pelanggan untuk bertanyakan tentang kualiti perkhidmatan/barang yang ditawarkan.

ix. Tahap tenaga yang tinggi

Seorang usahawan yang berjaya lebih bertenaga daripada orang biasa. Faktor ini adalah penting memandangkan banyak usaha diperlukan untuk melancarkan sesebuah syarikat baru. Seseorang usahawan perlu berusaha keras dalam waktu bekerja yang panjang dan meletihkan.
Contoh: Peniaga tidak mudah merasa penat.
Contoh: Peniaga perlu sihat dari segi fizikal dan mental.
Contoh: Peniaga perlu mempunyai tahap tenaga yang tinggi/’energetic’.

x. Motivasi untuk mencapai kejayaan

Usahawan berjaya bermotivasi tinggi untuk mencapai kecemerlangan dalam perniagaannya. Dia berinisiatif tinggi hasil dorongan motivasi dalaman untuk berusaha demi mencapai kejayaan. Usahawan yang berjaya bukan didesak oleh motivasi luaran semata-mata. Sebaliknya, dia mendapat kepuasan daripada cabaran yang ditanganinya Contoh: Mendapat keuntungan yang banyak akan memotivasi dan membuatkan peniaga melebihkan usaha untuk mencapai lebih kejayaan. (Motivasi dalaman)

xi. Berorientasikan masa depan

Kajian telah menunjukkan usahawan yang mencipta perniagaan dan memastikan pertumbuhannya pada kadar yang tinggi menzahirkan perasaan perihatin yang tinggi terhadap masa depan perniagaan tersebut berbanding dengan usahawan yang mempunyai perniagaan yang kadar pertumbuhannya rendah atau sederhana. Contoh: Menjalankan perniagaan jual beli melalui internet atau menggunakan peralatan teknologi tinggi.
xii. Kesanggupan belajar daripada kesilapan

Seorang usahawan yang berjaya sanggup menerima kegagalan sebagai satu keperluan untuk mencapai kejayaan. Kegagalan merupakan satu pengajaran supaya kesilapan yang sama tidak diulangi. Dengan sikap sedemikian, seseorang usahawan akan dapat memperbaiki peluang untuk mencapai kejayaan. Contoh: Kemajuan Negara Jepun selepas peristiwa pengeboman Bandaraya Hiroshima dan Nagasaki oleh kuasa Barat dalam Perang Dunia Ke-2 telah menjadikan negara ini sebuah negara yang sangat maju dalam bidang teknologi.

xiii. Berkeupayaan memimpin

Usahawan yang berjaya merupakan seseorang yang berpengalaman, memiliki pengetahuan tentang teknologi dan keadaan pasaran di mana dia beroperasi. Jarang sekali dapat dilihat sesuatu usaha teroka yang berjaya dikendalikan oleh seseorang yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang yang diterokainya. Usahawan yang berjaya mempunyai kemampuan untuk menggunakan pengaruhnya sebagai pemimpin. Contoh: Tun Dr. Mahathir ialah seorang pemimpin yang berkeupayaan sebagai pengamal perubatan, pakar ekonomi dan pengurus tadbir yang berjaya selain daripada berkemampuan untuk mempengaruhi orang lain.

xiv. Sangat rajin bekerja

Mewujudkan satu perniagaan yang baru bukanlah satu kerja yang mudah. Seorang usahawan perlu melakukan banyak kerja-kerja asas seperti memesan sumber, menarik pelanggan, memastikan rekod perakaunan kemas kini,  melakukan kawalan daripada pelbagai segi. Justeru, untuk memastikan semua kerja ini dilaksanakan, usahawan perlu mempunyai sikap yang sangat rajin. Contoh: Zull Design – Beliau berusaha tanpa jemu walaupun pada suatu masa idea beliau tidak dapat diterima umum.

xv. Berorientasikan pencapaian

Usahawan yang berjaya sering mengetahui objektif dan tujuan yang mereka hendak capai. Objektif-objektif yang ditetapkan merupakan satu dorongan yang kuat yang akan menggerakkan usahawan ke arah pencapaian tersebut. Contoh: Genting Highlands – Tan Sri Lim Goh Tong telah memilih Genting Highlands sebuah hutan belantara di tanah tinggi untuk dijadikan tempat rekreasi yang mendapat kunjungan dari dalam dan luar Negara. Contoh: Air Asia – Dato’ Tony Fernandes mempunyai objektif ‘ penerbangan untuk semua orang’.

xvi. Terus belajar

Usahawan yang berjaya mesti mempunyai pengetahuan strategik tentang perniagaan dan pengetahuan teknikal. Pengetahuan strategik perniagaan akan membantu usahawan menguruskan perniagaan dengan lancar dan pengetahuan teknikal pula membolehkan usahawan mengoperasikan sesuatu keluaran atau perkhidmatan dengan baik supaya kualiti barangan dan perkhidmatan yang diberi kepada pengguna adalah yang terbaik. Contoh: Murid digalakkan membuat kajian menerusi internet untuk menambahbaik maklumat yang diperoleh dalam
proses P&P.

xvii. Daya tahan yang kental

Usahawan akan menghadapi pelbagai cabaran dan halangan sebaik sahaja menubuhkan perniagaan. Dia perlu mempunyai daya kekuatan mental, fizikal dan emosi yang tinggi untuk terus bertahan disamping terus menangani segala masalah yang dihadapi dengan tabah sehingga berjaya. Contoh: Murid mempunyai kekuatan dalaman untuk meneruskan segala projek yang diberikan walau menghadapi
rintangan.

xviii. Toleransi ketidaktentuan yang tinggi
Usahawan juga menghadapi pelbagai kemungkinan situasi dalam perniagaan mereka akibat dari perubahan yang tidak dijangka atau tidak mendapat maklumat yang tepat. Usahawan perlu mempunyai kesabaran untuk bertolak ansur dengan situasi yang tidak tentu tersebut dan tenang mencari penyelesaiannya. Contoh: Murid digalakkan menyertai mana-mana pertandingan yang dianjurkan di sekolah dengan membuat persiapan untuk situasi yang tidak dijangka.

xix. Daya ketabahan yang tinggi

Usahawan melalui proses yang banyak dalam jangka waktu yang panjang untuk membangunkan perniagaannya sehingga mencapai tahap yang selesa dan kuat. Kekuatan semangatnya melalui setiap waktu dengan pelbagai aktiviti yang perlu dilakukan, pelbagai cabaran dan ketidaktentuan persekitaran atau hasil menjamin keberlangsungan usaha yang dilakukan.
Contoh: Murid tetap meneruskan projek yang ditugaskan walau menempuh kesukaran.

xx. Boleh membina jaringan sosial

Usahawan perlu meluaskan jaringan sosial perniagaannya. Jaringan sosial perniagaan diperlukan untuk memastikan perniagaannya dikenali ramai selain mudah untuk menjalinkan hubungan kerjasama bagi mendapatkan maklumat dan pesanan sumber-sumber yang berkaitan dengan kejayaan perniagaan. Contoh: Murid membina jaringan rakan-rakan melalui internet untuk menyelesaikan masalah dalam pembelajaran. Pedagogi pembentukan sikap keusahawanan melibatkan langkah-langkah seperti mendedahkan murid kepada siapa usahawan dan kerjaya keusahawanan yang menyebabkan mereka mengenal apa itu bidang keusahawanan dan bermotivasi untuk menjadi usahawan dan mengamalkan sikap keusahawanan sehingga menjadi satu amalan harian yang merupakan satu budaya dalam kehidupan seharian mereka.

2. Pemikiran keusahawanan

Seorang usahawan sentiasa berfikiran kritis, kreatif dan inovatif kerana mereka perlu mengenal peluang-peluang dalam
persekitaran perniagaan mereka supaya boleh terus berjaya atau sekurang-kurangnya bertahan dalam usaha mereka.
Pemikiran keusahawanan melibatkan sembilan langkah utama yang ada pada usahawan seperti:
i. amalan memerhati persekitaran dengan sengaja dan bertujuan;
ii. menganalisis pemerhatian secara kritis dan kreatif;
iii. menghasilkan idea dari pemerhatian;
iv. memilih idea baik dari banyak idea;
v. menambahbaik idea yang dipilih (inovasi);
vi. menilai idea secara kritis dalam konteks;
vii. melaksanakan idea dalam bentuk produk teknologi abstrak atau konkrit;
viii. menyesuaikan idea baru dengan keperluan masyarakat dan persekitaran;
ix. meneruskan peningkatan kualiti idea.

3. Pengetahuan dan kemahiran pengurusan perniagaan

Seorang usahawan yang berjaya selain mempunyai sikap dan pemikiran yang cemerlang boleh mengaplikasi konsep pengetahuan dan kemahiran pengurusan perniagaan bukan sahaja dalam perniagaan mereka tetapi juga dalam situasi kehidupan harian yang relevan. Pedagogi pengetahuan dan kemahiran pengurusan perniagaan melibatkan praktis amalan-amalan tertentu seperti mengurus wang samada dalam perbelanjaan harian atau penabungan, mengurus transaksi jual beli mudah harian dan amalan kepenggunaan yang baik. Contoh: Pengurusan peralatan yang digunakan dalam setiap pembelajaran; pengurusan kewangan (mengelakkan pembaziran), pengurusan masa, pengurusan stok dan sumber.

4. Teknologi dan vokasional keusahawanan

Seorang usahawan yang bertaraf tinggi dalam kalangan usahawan-usahawan biasa (peniaga yang membeli dan menjual semula) adalah seorang yang boleh memformulasikan pengetahuan teknologi dan vokasional mereka untuk mereka cipta produk keusahawanan baru dalam pasaran lokal dan global.  Pedagogi teknologi dan vokasional keusahawanan melibatkan praktis langah-langkah dalam reka bentuk (design) yang menggabungkan pengetahuan dan kemahiran teknologi atau vokasional untuk menghasilkan samada konsep, produk dan perkhidmatan yang boleh dikomersilkan. Contoh: Murid digalakkan mengeluarkan idea sendiri dalam merekabentuk produk (contoh: dalam mata pelajaran Dunia Seni Visual) dan seterusnya menghias sehingga menjadi produk yang menarik minat orang untuk memiliki.

5. Nilai moral dan etika keusahawanan

Nilai moral keusahawanan adalah ciri baik yang diterima secara universal yang ada dalam diri seoorang usahawan. Nilai moral adalah semua nilai baik universal yang disukai atau disenangi semua masyarakat seperti jujur, ikhlas, tolong menolong dan banyak lagi. Nilai moral baik ini mendorong usahawan mengambil tingkah laku yang beretika semasa menjalankan transaksi perniagaan sama ada dengan pelanggan atau syarikat-syarikat lain. Seorang usahawan bertanggungjawab kepada masyarakat kerana peranan mereka sebagai peneraju ekonomi negara. Oleh itu mereka perlu mengamalkan nilai moral dan etika keusahawanan yang baik bagi memastikan keharmonian perjalanan urusan berkaitan perniagaan dari aspek mikro dan ekonomi negara dari aspek makro.

Ada lima prinsip amalan etika keusahawanan berasaskan nilai moral baik:
1. Prinsip kemudaratan: perniagaan tidak boleh menyebabkan kemudaratan
a. Menjaga kesejahteraan masyarakat: persekitaran dan aspek fizikal dan emosi individu
b. Tidak salah guna kuasa dan sumber
2. Prinsip keadilan: perniagaan patut adil dalam amalannya
a. Tidak menindas
b. Tidak memilih kasih
3. Prinsip hak manusia: perniagaan patut menghormati hak manusia
a. Menghormati hak orang lain                                                                                                                                                                   b. Tidak menghalang hak orang lain
4. Prinsip autonomi: perniagaan tidak boleh menafikan hak memilih individu
a. Menghormati cara hidup orang lain
b. Menghargai kepelbagaian manusia
5. Prinsip ketelusan: perniagaan tidak mengelirukan masyarakat
a. Tidak mengelirukan masyarakat
b. Menyatakan yang benar
Pedagogi nilai moral dan etika melibatkan situasi-situasi yang memerlukan murid membuat penilaian dan seterusnya cuba
memodelkan dalam amalan kehidupan seharian mereka. Dalam kelas, murid boleh melakukan amalan nilai moral dan etika
secara simulasi dan main peranan.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment